Khamis, Ogos 07, 2014

HUBUNGAN AKHLAK DENGAN AKIDAH ISLAM.

Pengenalan

Akhlak adalah merupakan suatu matlamat penting dalam perutusan junjungan Nabi Muhammad SAW disamping membawa ajaran tauhid dan ibadat ia juga adalah menjadi suatu ciri dari perutusan para rasul sejak Nabi Adam AS.
Antara ajaran penting dalam agama samawi adalah bertunjang kepada ajaran berbentuk akhlak:

-bagaimana seseorang hamba Allah berhubung dan beribadat kepada tuhannya,
-bagaimana ia berhubung dengan sesama manusia dalam masyarakat,
-bagaimana sikap dan layanannya terhadap makhluk-makhluk yang lain.

Al-Quran dalam banyak ayat-ayatnya telah menyebut tentang peri pentingnya akhlak yang mulia dan telah menerangkan bahawa tujuan asal Allah mengutus manusia ke dunia adalah untuk memakmurkan dunia dengan kebaikan dan kebenaran. Allah menegaskan dalam surah al-Haj ayat 41 yang bermaksud:
(iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkn kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah perbuatan yang mungkar dan kepada Allah lah kembali segala urusan.

Pengertian Akhlak

Pengertian akhlak dari segi bahasa berasal dari kata “khuluk” yang bererti  perangai, budi pekerti, tabiat dan adab.
Ibnu Atsir dalam kitabnya “an-Nihayah” menerangkan hakikat makna “khuluk” itu ialah gambaran batin manusia yang tepat iaitu jiwa dan sifat-sifatnya, sedangkan “khalki” merupakan gambaran bentuk luarannya seperti raut muka, warna kulit, tinggi rendah badan dan sebagainya.

Akhlak dari segi istilah pula ialah tingkah laku yang baik atau buruk, contoh teladan atau apa saja yang dilakukan oleh manusia dan kita mengetahuinya.

Ibnu Maskawih pula mendefinisikan akhlak sebagai keadaan jiwa seseorang yang mendorongnya untuk melakukan perbuatan-perbuatan tanpa melalui pertimbangan fikiran terlebih dahulu.

Prof. Dr. Ahmad Amin pula berkata bahawa yang disebut akhlak itu adalah iradah atau kehendak yang dibiasakan (ertinya kehendak itu bila membiasakan sesuatu). Maka kebiasaan itu dinamakan akhlak.

Dalam pengertian yang sama Dr. Abdullah Diroz melalui bukunya “Kalimat fi mabadiu al-akhlak” menyatakan akhlak adalah satu kekuatan dalam kehendak yang mantap. Kekuatan dan kehendak bergabung membawa kecenderungan kepada pemilikan akhlak yang benar(baik) atau yang jahat.
Islam terdiri dari tiga asas atau perkara yang utama iaitu :

a)      Aqidah yang membicarakan soal hubungan manusia selaku hamba dengan tuhannya.
b)      Syariah yang membincangkan hubungan atau ikatan antara individu dan masyarakat.
c)      Akhlak yang merupakan tabie yang memetrai hubungan dan ikatan keseluruhan dengan tabiat yang iltizam.

Hubungan di dalam Islam pula terbahagi kepada tiga iaitu :
a)   Sekumpulan sistem yang mengatur hubungan antara manusia dengan penciptaNya yang dikenali sebagai ibadat.
b)      Sekumpulan sistem yang mengatur hubungan manusia dengan dirinya sendiri iaitu akhlak.
c)  Sekumpulan system yang mengatur hubungan manusia dengan orang lain yang dikenali sebagai muamalat yang mencakupi system kekeluargaan, politik, ekonomi dan undang-undang.

Hubungan dan Kedudukan Akhlak Dalam Islam

a)    Islam telah menjadikan akhlak sebagai alasan kenapa agama Islam diturunkan. Rasulullah SAW sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
            Sabda Rasusullah yang bermaksud:
            Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.

            Pernyataan atau pengakuan yang dibuat oleh Rasulullah menunjukkan peri pentingnya  
            kedudukan akhlak di dalam Islam.
           
b)  Islam menganggap orang yang paling tinggi darjat keimanannya ialah mereka yang paling mulia akhlaknya. Dalam hadis ada dinyatakan:

            Rasulullah SAW telah ditanya: Wahai Rasulullah, mukmin yang bagaimanakah yang    
            paling afdal imannya? Rasulullah bersabda: Orang yang paling baik akhlaknya                
            diantara mereka. (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi dari Abu Hurairah, dipetik    
            dari kitab Ihya’ Ulumiddin, jilid 4 mukasurat 136)

c)      Islam juga menganggap bahawa akhlak yang baik adalah merupakan amalan yang utama yang dapat memberatkan neraca amalan baik di akhirat kelak.
            Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
            Perkara yang lebih berat diletakkan dalam neraca hari kiamat ialah taqwa kepada   
            Allah dan akhlak yang baik.

d)     Dalam ajaran Islam dinyatakan bahawa mereka yang berjaya memenangi kasih sayang Rasulullah dan mendapat suatu kedudukan yang hampir dengan baginda pada hari akhirat ialah orang yang lebih baik akhlaknya.
            Sabda Rasulullah yang bermaksud:
            Sesungguhnya orang yang sangat dicintai dan yang paling dekat kedudukannya       
           denganku di hari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya diantara kamu.

          e)      Dalam ajaran Islam juga dinyatakan bahawa akhlak adalah merupakan syarat untuk membebaskan                diri dari azab neraka dan memenangi syurga.

f)    Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya diperbaiki akhlaknya sedangkan baginda tergolong dalam golongan mereka yang baik akhlaknya. Baginda sering berdoa yang bermaksud:
           Tuhanku, tunjukkilah aku akhlak yang paling baik.

            g)      Allah telah memuji RasulNya kerana berakhlak mulia. Pujian yang didasarkan kepada  
           akhlak yang agung ini menunjukkan betapa tingginya  kedudukan akhlak di sisi Allah.
           Firman Allah Taala yang bermaksud:
           Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung. (surah al-Qalam   
           ayat 4)

     AKHLAK MANUSIA DENGAN ALLAH

Dunia ini dicipta oleh Allah untuk diwarisi manusia, maka untuk menerima warisan itu manusia harus bekerjasama dan saling bantu membantu sehingga tercapai semua apa yang dicita-citakannya itu.
Ada dua jalur hubungan yang harus dihadapi manusia dalam kehidupannya di dunia ini, iaitu:

      1-      Jalur hubungan antaranya dengan Allah.
      2-      Jalur hubungan antaranya dengan alam sekitaran, terutama sesama manusia dengan manusia yang lain.
       Allah sendiri telah mengariskan ketentuan demikian di dalam firmanNya yang bermaksud:
   “Ditimpa ke atas mereka kehinaan di mana sahaja mereka berada,kecuali mereka menjaga                  hubungan (yang baik) dengan Allah dan hubungan (yang baik) dengan manusia.”
     (ali-Imran:112)

Persoalannya sekarang ialah bagaimana caranya supaya kita dapat menjalin hubungan baik kita dengan Allah dan dengan sesama manusia. Jawapan yang pasti dan tegas ialah kita mesti menjaga hubungan baik kita dengan kedua-duanya sekaligus, yakni hubungan dengan Allah mestilah baik dan jujur, dan hubungan dengan manusia mestilah sempurna dan tidak pincang. Untuk mencapai tingkat ini, kita mestilah menjaga norma moral yang baik. Sebab itu kita perlu sekali mengetahui bagaimana seharusnya kita bersopan santun dalam hubungan kita dengan Allah Taala, supaya kita tidak dimurkainya. Berikut ialah beberapa cara untuk kita menjaga hubungan baik dengan Allah iaitu:

Beriman Kepada Allah. 
Pada dasarnya akhlak manusia kepada Allah ialah bahawa hendaklah manusia itu beriman kepada Allah yang bererti mengakui dengan lisan dan menyakini dengan hati bahawa Allah itu ADA dan bersifat dengan segala sifat-sifat yang baik dan mulia, dan tersisih dari segala sifat-sifat yang buruk dan hina. Kita harus menyakini, bahawa di alam ini ada satu kekuatan tunggal yang tersembunyi yang dapat menggerakkan dan mengatur seluruh hal-ehwal alam ini. Kekuatan yang tersembunyi itu ialah kekuatan Allah yang Mutlak, kekuatan Tuhan sru sekalian alam.
  
Beribadah dan Mengabdi Diri kepada Allah.
Beriman kepada Allah tidak cukup hanya sekadar mempercayai akan adanya Allah sahaja, melainkan sekaligus harus diikuti dengan beribadah dan mengabdi diri kepada Allah. Dalam kehidupan sehari-hari yang realiti dan semestinya berupa: Diamalkannya segala perintah Allah dan dijauhinya segala larangan Allah. Dan semua ini dikerjakannya dengan tulus ikhlas, smata-mata hanya kerana Allah sahaja.
Ini bermakna orang yang atheis, orang yang tidak beriman kepada Allah atau orang yang derhaka dengan melakukan maksiat bererti ia tidak sopan kepada Allah. Kerana mereka telah membelakangi Allah yang telah mencipta mereka dan memberi segala macam kenikmatan untuk hidup di dunia ini.

Tidak Menyekutukan Allah.
Menyekutukan Allah dengan yang lain ialah membuat sekutu bagi Allah dalam kemutlakan kedudukannya sebagai Tuhan yang sebenarnya. Tegasnya mempersekutukan Allah dengan yang lain, sama ada mempertuhankan sesuatu yang bukan Tuhan, lalu dianggapnya tuhan yang disembahnya. Ataupun mengadakan lagi tuhan yang lain disamping Allah, Tuhan yang sebenarnya.
Perbuatan demikian disebut syirik dan orang yang melakukannya dinamakan musyrik. Syirik adalah dosa terbesar sekali disamping dosa-dosa yang lain di dalam Islam. Meski pun dosa-dosa itu terbagi antara yang besar dan yang kecil, namun semuanya ada cara-cara untuk memperolehi kemaafannya dari Allah Taala. Kecuali dosa besar syirik, maka dosa itu tiada terampun lagi apabila seseorang itu mati dalam syirik.

Takut Kepada Allah.
Semua manusia mestilah takut kepada Allah kerana takut kepada Alah ada nikmat padanya. Orang yang takut kepada Allah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah yang mengandungi kenikmatan hidup di dunia dan kebahagian hidup di akhirat. Kita harus takut kepada Allah kerana dua perkara;

       a)      Agama Islam memang mengajar kita supaya hendaknya takut kepada Allah dengan sebenar-benar                takut.
      b)      Allah Taala bukan hanya Maha Pengasih Maha Penyayang, suka mengampun dosa orang yang bersalah, tetapi Dia juga sangat keras siksaNya terhadap orang yang membuat dosa. Dia tetap akan menghukum siapa yang berani derhaka kepadaNya. Disamping Dia memberikan syurga, Dia juga mempunyai neraka.

Cinta Kepada Allah.
Apabila manusia benar-benar takut kepada Allah Taala, maka takwanya akan tumbuh hidup subur, yakni kepatuhannya terhadap perintah-perintah Allah dan kejauhannya dari larangan-larangan Allah akan jelas kelihatan dalam semua gerak-gerinya. Ketika itu hatinya akan sentiasa ingat kepada Allah dan cinta kepadaNya.
Ada pun keharusan untuk mencintai Allah itu adalah disebabkan oleh hal-hal yang berikut:

      a)      Agama Islam memang mengajar kita semua mencintai Allah bahkan juga mencintai RasulNya.
     b)     Kita tidak mungkin mengakui beragama Islam dengan baik dan sempurna kalau Allah dan RasulNya tidak      kita cintai dan kita sayangi.
    c)  Selain itu Allah memang Maha Pengasih Maha Penyayang, bagaimana pula kita sampai tidak mencintaiNya.  Tentu itu adalah pelik sekali.

Imam Ghazali pula menerangkan, bahawa tanda-tanda orang yang mencintai Allah ialah:
    a)     Orang yang selalu ingat akan mati, kerana hanya dengan mati si pencinta akan dapat bertemu dengan siapa yang dicintaiNya.
     b)      Orang yang selalu bersedia untuk berqurban kerana Allah, dan ingin mendekatkan dirinya Kepada Allah.
     c)      Orang yang selalu ingat kepada Tuhan, kerana mengingati Tuhan itu akan menyedari jiwanya.
   d)   Orang yang sentiasa mencintai kepada firman-firman Allah, yakni selalu membaca Al-Quran dan mengambil   pengiktibaran daripadanya.
     e)     Orang yang sentiasa mencintai Nabi Muhammad s.a.w. dan mengikut akhlak serta kelakuan beliau.
     f)       Orang yang suka beribadah kepada Allah, dan merasa ringan bila berbuat sesuatu ibadah kepadaNya.
    g)      Orang yang suka berbakti pada jalan Allah, dan membenci kaum kafir dan munafik.

 Rela dan Ikhlas Terhadap Qadhak dan Qadar Allah.
Kepercayaan kepada  Qadhak dan Qadar ini mengajarkan kita, bahawa segala sesuatu yang terjadi di alam ini, termasuk yang menimpa diri kita sendiri dari bahaya dan bencana adalah dari kehendak dan takdir Allah Taala dan ketentuanNya. Segala sesuatu yang ditentukan oleh Allah Taala itu ada sebab dan hikmatnya, yang mana manusia tiada campur tangan dalam urusan itu.

Takdir apa pun, atau Qadhak dan Qadar apa pun yang ditentukan Allah buat kita, wajib kita menerimanya dengan rela hati dan ikhlas walaupun yang ditakdirkan untuk kita itu mungkin merugikan atau menyedihkan kita. Sebab sama ada kita menerimanya dengan baik atau tidak, namun takdir Allah itu tetap terjadi juga, dan tetap berlaku pada diri kita. Kita tidak ada jalan untuk membantahnya.

Bertaubat Kepada Allah
Orang yang bertaubat kepada Allah ialah orang yang kembali kepadaNya serta mematuhi perintahNya, yakni setelah dia membuat kederhakaan kepada Allah, lalu memohon kemaaafan dan kembali membetulkan dirinya dari kederhakaan itu, dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Manusia memang semestinya tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Akan tetapi kenyataannya menunjukkan bahawa manusia sering melanggar perintah Allah dan menempuh laranganNya, sama ada dia sedar atau pun tidak. Kenyataan ini sudah ada dan sudah berlaku pada manusia sejak manusia pertama lagi iaitu nabi Adam a.s. Kerana itu kesalahan atau dosa adalah satu hal yang tidak dapat dihindari oleh manusia, walau bagaimanapun semangatnya dalam beragama. Bahkan manusia dipanggil manusia, ialah kerana Mahallul-Khatak Wan-Nisyan, yakni tempat berlakunya salah dan silap.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Semua anak Adam mempunyai kesalahan, dan sebaik-baik orang yang mempunyai kesalahan ialah mereka yang mahu bertaubat.” (Riwayat Termizi dan Ibnu Majah)

 Bersyukur Kepada Allah.
Bersyukur adalah satu hal yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya kepada sekalian para hamba. Bersyukur menunjukkan rela atas takdir Allah Taala yang dikurniakan kepada seseorang hamba. Bersyukur itu bukan saja ditunjuk bila ada nikmat yang mewah daripada Allah, bahkan pada masa tidak dikurniakan nikmat pun harus bersyukur. Apatah lagi bila nikmat yang diterimanya ada tetapi tidak cukup, mestilah juga dia tidak melupakan bersyukur kepada Allah Taala. Itulah sifat mukmin yang sejati.

Tetapi yang sebenarnya erti syukur ialah, mempergunakan nikmat dan kurnia Allah yang berada di tangan kita sesuai dengan apa  yang dikehendaki dan disuruh oleh Tuhan yang memberikan kita nikmat dan kurnia itu. Atau pun boleh juga bersyukur itu diertikan dengan mempergunakan segala sesuatu pemberian dan kemewahan yang diberikan Allah kepada kita untuk dibelanjakan  kepada berbagai-bagai fungsinya yang wajar, sesuai dengan apa yang ditentukan olh Allah Taala.

Kesimpulan.

Akhlak setiap insan sehari-hari adalah berkaitan dengan amalan yang dilakukan sama ada baik atau sebaliknya dan akan dihitungkan pada hari akhirat kelak. Justeru, setiap insan diseru agar melakukan kebaikan dengan menambah pahala dan menebus dosa. Memelihara akhlak dan akidah merupakan langkah terbaik meningkatkan keimanan serta ketakwaan kepada Allah s.w.t. Menjaga keperibadian atau akhlak merupakan tuntutan dalam Islam tidak kira sama ada akhlak sesama manusia, sesama makhluk lain dan juga akhlak dengan Allah s.w.t.

  
Rujukan.

1-      Harun Arrasyid Hj Tuskan, (2003) Akhlak Harian Setiap Muslim. Kuala Lumpur,
Al-Hidayah Publishers.


2-      Humaidi Tatapangarsa(Drs.), (1997) Akhlak Yang Mulia. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan