Sabtu, Jun 30, 2012
Penyanyi Yang Menghafaz Hadis.
Abdullah bin Mas'ud adalah sahabat kepada Rasulullah s.a.w. Suatu hari ketika Abdullah sedang berjalan di sebuah lorong di bandar Kufah, dia melihat sekumpulan lelaki yang mabuk. Seorang daripada lelaki yang mabuk itu ialah penyanyi. Lelaki itu bermain alat muzik dan menyanyi dengan bahasa yang ungkapannya tidak enak untuk didengar. Nama lelaki itu ialah Zadzan bin al-Kindi. Walaupun ia mabuk, semua orang yang mendengar mengatakan ia memiliki suara yang merdu.
Abdullah berhenti dan mendengar nyanyian Zadzan. "Oh, betapa indah dan merdunya suara lelaki ini. Sayang sekali ia menyanyikan perkataan-perkataan yang dahsyat dan keji," katanya. "Alangkah bagusnya jika suara itu digunakan untuk membaca al-Quran, kalamullah," kata Abdullah lagi. Selepas membetulkan serban, dia meneruskan perjalanannya.
Kata-kata Abdullah tadi sampai ke telinga Zadzan. "Siapakah lelaki itu?" tanya Zadzan.
"Dia adalah Abdullah bin Mas'ud, sahabat Rasulullah," jawab salah seorang dari kawan-kawannya.
"Adakah kamu mendengar apa yang dia katakan sebentar tadi?" tanya Zadzan lagi.
"Ya, dia berkata, alangkah bagusnya jika suara itu digunakan untuk membaca al-Quran, kalamullah," jawab kawan-kawan Zadzan.
Yakin bahawa dia telah mendengar kata-kata Abdullah yang benar, Zadzan berdiri dan datang suatu rasa dalam dirinya. Dia mengikat sapu tangan di lehernya dan berjalan meninggalkan kumpulan itu. Matanya liar mencari Abdullah bin Mas'ud. Dia berjalan ke sana dan kemari beberapa ketika sebelum akhirnya ia menemui Abdullah. Betapa gembiranya Zadzan. Dia berlari ke arah Abdullah dan memeluknya sambil menangis.
Abdullah terkejut namun berasa sangat gembira. Dia membalas pelukan Zadzan dan turut sama menangis. Dia berasa sungguh terharu. "Bagaimana aku tidak menangis untuk seorang lelaki yang disayangi oleh Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Besar?"
Apabila mendengar kata-kata itu, Zadzan menangis dengan lebih kuat lagi. Sejak hari itu dia tidak pernah berhenti memohon keampunan dari Allah atas dosa-dosanya yang telah lalu. Zadzan telah jauh berubah. Dia telah menjadi seorang muslim yang taat. Dia telah tinggal dengan Abdullah bin Mas'ud untuk mempelajari al-Quran dan selok belok ilmu Islam sehingga ia menjadi seorang imam yang disegani.
Zadzan belajar bersungguh-sungguh hingga akhirnya ia berjaya menghafaz banyak hadis dari Abdullah bin Mas'ud, Salman bin al-Farisi dan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain.
Rabu, Mei 09, 2012
Siti Fatimah Az-Zahrah.
Siti Fatimah Az-Zahrah rodiaAllahu 'anha adalah puteri Rasulullah s.a.w. Sejak usianya masih mentah lagi Siti Fatimah telah menghadapi kehidupan yang susah dan menempuh pelbagai dugaan. Dia telah biasa melakukan berbagai-bagai pekerjaan dan urusan rumah tangga. Ini kerana ibunya Siti Khadijah telah wafat sejak dia masih kecil lagi.
Sebagai puteri nabi, selain melakukan tugas-tugas di dalam rumah masanya juga banyak dihabiskan dengan mengikuti Rasulullah pergi berdakwah kepada kaum Quraisy dan menyaksikan sendiri bagaimana bapanya diperlakukan dengan amat buruk. Secara tidak sedar dia meninggalkan perkara-perkara yang biasanya dilakukan oleh kanak-kanak lain seperti gemar bermain-main, manja, ingin dipuji dan sebagainya. Sebaliknya, kehidupan yang ditempuhinya sejak kanak-kanak membentuk Siti Fatimah menjadi seorang yang cerdik, kuat semangat, tabah, rajin, serta kuat keimanannya kepada Allah s.w.t.
Siti Fatimah telah dikahwinkan dengan Syaidina Ali. Walaupun beliau seorang yang miskin, Rasulullah telah menerima Syaidina Ali sebagai menantu baginda kerana beliau mempunyai keimanan yang sangat tinggi serta gigih memperjuangkan agama Allah. Setelah menjadi isteri Syaidina Ali, Siti Fatimah hidup dalam keadaan yang lebih sempit. Tambahan pula, Syaidina Ali merupakan seorang ahli perang yang kerap keluar untuk pergi berjuang, Syaidina Ali sering pergi untuk jangka waktu yang agak lama.
Oleh kerana memahami keadaan suaminya yang berjuang di medan peperangan dan melakukan tugas-tugas menyebarkan Islam, Siti Fatimah mengusahakan sendiri keperluan makan minum harian mereka sekeluarga sewaktu ketiadaan suaminya. Dengan keadaan padang pasir yang berbahang, setiap hari Siti Fatimah menggangkat air dari sebuah telaga yang terletak sejauh dua batu dari rumah mereka. Walaupun ia menghadapi keadaan sedemikian, Siti Fatimah tidak pula mengeluh. Beliau sedikit pun tidak berasa sedih, kecewa atau berdukacita. Sebaliknya dia melakukan segala tugasnya dengan begitu tekun dan rajin.
Namun, dalam kesibukan melakukan semua urusan rumah tangga, mulutnya tidak henti-henti berzikir kepada Allah. Begitulah keadaan Siti Fatimah yang telah dididik dan diasuh oleh Rasulullah. Siti Fatimah memahami apabila Tuhan menimpakan sesuatu kesusahan dan sekiranya seseorang itu bersabar serta menerimanya dengan hati yang redha maka Tuhan amat sayang kepada hamba-Nya itu serta mengampunkan dosa-dosanya.
Walaupun kehidupan Siti Fatimah dan Syaidina Ali sekeluarga serba kekurangan, mereka masih dapat memenuhi tanggungjawab mereka kepada orang lain. Apabila mereka mempunyai makanan atau Siti Fatimah menyediakan makanan untuk keluarga mereka, dia tidak lupa untuk mengasingkan sebahagian daripada makanan itu untuk jiran-jiran mereka. Akan tetapi, jiran-jiran mereka tidak pernah terfikir bahawa makanan itu telah diletakkan di muka pintu rumah mereka oleh Syaidina Ali.
Begitulah kesahnya, bukan harta kekayaan yang mendorong seseorang itu membantu orang lain, tetapi kasih sayang sesama insan yang bertunjangkan keimanan kepada Tuhan.
Selasa, Februari 07, 2012
PETUA IMAM SYAFIE
1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas
Empat perkara melemahkan badan:
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam
Empat perkara menajamkan mata:
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih
Empat perkara merosakan mata:
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat
Empat perkara menajamkan fikiran:
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama
4 CARA TIDUR
1. TIDUR PARA NABI
- Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi.
2. TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH
- Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.
3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA
- Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.
4. TIDUR SYAITAN
- Menelungkup/tiarap seperti tidurnya ahli neraka.
doa.
zikir.
itulah kekuatan seorang muslim :)
Rabu, Disember 14, 2011
Siapa Lebih Hebat.
Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah lagi makhluk-Mu yang lebih hebat dari besi?" Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu api." Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah makhluk-Mu yang lebih hebat dari api?" Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu air." Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah lagi makhluk-Mu yang lebih hebat dari air?" Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu angin." Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah lagi makhluk-Mu yang lebih hebat dari angin?"
Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu anak Adam. Bila mereka memberi satu derma dari tangan kanannya sedangkan sedekah itu tidak diketahui langsung oleh tangan kirinya, maka yang demikian itu lebih hebat dari angin." Dari dialog ini dapat kita ketahui bahawa sedekah yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk mengharapkan keredhaan Allah oleh setiap anak Adam yang beriman sebenar-benarnya mereka adalah makhluk Allah yang paling hebat sekali di muka bumi ini.
nota b.tan. -
Semua makhluk ada kelebihan dan kekurangannya tak kira apa jenis sekali pun sama ada manusia mau pun haiwan. Tak usahlah kita sesama manusia mendabik dada untuk bermegah dengan kehebatan yang hanya pinjaman dari Allah Yang Maha Hebat. Walau siapa pun kita, kayakah atau gagah dengan badan yang sasa tetapi jika ditimpa sakit yang paling ringan iaitu sakit gigi tetap akan terasa lemah badan. Malah semua kehebatan adalah milik Allah, Tuhan Robbul Jalil yang menguasai seisi alam ini dan mentadbirnya tanpa bantuan dari sesiapa pun.
Jumaat, Disember 09, 2011
Kesabaran Abu Usman
Abu Usman adalah seorang hamba yang soleh dan taat beribadah. Dia mempunyai tahap kesabaran yang luar biasa. Apa sahaja yang menimpanya diterima dengan ikhlas dan sabar. Tidak pernah sedikit pun Abu Usman mengeluh.
Cerita tentang kesabaran Abu Usman ini terkenal di serata tempat. Sehinggalah pada suatu hari, ada seorang lelaki ingin menguji kesabaran Abu Usman. Lalu lelaki itu mengundang Abu Usman datang ke rumahnya. Maka datanglah Abu Usman ke rumah lelaki tersebut.
”Kenapa kau datang ke mari? Pergi kau dari sini! Kedatangan kau hanya akan menghabiskan hidangan aku sahaja,” bentak lelaki yang mengundang Abu Usman itu.
”Baiklah saya akan pergi,” kata Abu Usman tanpa marah sedikit pun kepada lelaki itu.
Baru sahaja beberapa langkah Abu Usman keluar, tiba-tiba ia dipanggil semula oleh lelaki itu.
”Hei, Abu Usman kenapa kamu pulang? Ke mari kamu,” panggil lelaki itu.
Abu Usman kembali semula berjumpa lelaki itu. Tetapi, sebaliknya dia terus diherdik dan diketawakan. Kemudian dihalau dan dipanggil semula. Begitulah keadaan Abu Usman datang dan pergi sehingga 30 kali. Abu Usman tidak mengeluh sedikit pun, apatah lagi marah.
Orang yang mengundang Abu Usman itu akhirnya percaya bahawa Abu Usman memang orang yang sabar. Lalu, ia merendahkan dirinya dan berlutut di hadapan Abu Usman.
”Maafkan saya Abu Usman. Sekarang saya percaya tuan hamba adalah seorang yang sangat sabar. Tuan hamba adalah hamba Allah yang sangat terpuji,” kata lelaki itu.
”Seekor anjing jika diperlakukan seperti tadi pasti akan marah. Tetapi saya tidak marah kerana saya bukan anjing,” kata Abu Usman.
Sejak dari hari itu, lelaki yang menguji Abu Usman akhirnya bertaubat. Dia mula belajar bagaimana untuk menerima segala sesuatu dengan ikhlas dan sabar.
Sabtu, Disember 03, 2011
Rumah Mahmudah vs Rumah Mazmumah.
“Salam sejahtera kepada penghuni rumah yang Allah berkati. Ya Allah! Aku mengharapkan jalan masuk yang terbaik dan juga jalan keluar yang terbaik. Aku memohon dengan menyebut nama-Mu ketika masuk rumah juga ketika keluar rumah dan hanya kepada-Mu aku bertawakkal serta menyerah diri.”
- Terjemahan Doa Masuk Rumah.
| Rumah Mahmudah | Rumah Mazmumah |
| Penghuninya berada dalam keadaan bersih dan berzikir kepada Allah S.W.T. | Penghuninya sentiasa bersepah dan menghafal sambil memuja artis-artis kegemaran.
|
| Penghuninya sentiasa menjauhkan diri dari melakukan perbuatan tercela. | Penghuninya sentiasa suka mengadakan parti birthday, anniversary di samping mengadakan karaoke bila kenduri kahwin.
|
| Penghuninya saling bermaaf-maafan di antara satu sama lain.
| Penghuninya sering bercakaran dan bersikap engkau-engkau, aku-aku. |
| Penghuninya sentiasa merendah diri kepada Allah S.W.T. | Penghuninya lebih suka menghadap televisyen dan radio dari memikir tentang hati. |
| Penghuninya tidak melakukan perbuatan haram. | Penghuninya bergotong-royong buat maksiat, lagi ramai kawan lagi bagus!
|
| Penghuninya sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah S.W.T. | Penghuninya tidak rukuk malah terus sujud atas tilam dan dalam selimut.
|
| Penghuninya terdiri dari pasangan soleh dan solehah. | Penghuninya terdiri dari pasangan dua kali lima- ilmu agama tidak ambil tahu.
|
| Penghuninya sentiasa menghubungkan silaturrahim. | Penghuninya berhubungan dengan pengumpat.
|
| Penghuninya sentiasa berbakti kepada ibu dan bapa. | Penghuninya tidak duduk di rumah kalau ada ibu bapa – berkawan di luar lebih seronok dari berkawan dengan ibubapa.
|
| Penghuninya sentiasa menjaga hak-hak dan kewajipan terhadap Allah. | Penghuninya mengingati Allah S.W.T setahun sekali waktu raya iaitu cuma di masjid. |
nota b.tan-
Di manakah rumah kita? Apakah di lokasi taman mahmudah atau pun di lembah mazmumah? Marilah kita bersama berubah ke arah yang lebih baik dan lebih dipandang mulia oleh Allah S.W.T bersempena tahun baru hijrah 1433 ini. Sekian. Wassalam.
Khamis, November 24, 2011
Takabbur, riyak dan ujub.
Cara untuk menghindari ketiga-tiga sifat ini ialah selalu mengamalkan sifat tawadhuk atau rendah diri dan membanyakkan pergaulan dengan semua peringkat ahli masyarakat dan melatih diri mendengar pandangan orang lain dalam segala hal.
Sifat-sifat ini juga boleh diatasi dengan sentiasa memikir bahawa setiap yang sihat boleh ditimpa keuzuran atau penyakit suatu hari nanti, yang tinggi darjat keturunannya tidak akan dinilai di sisi Allah selain taqwa dan yang kaya pula boleh mengalami bencana seperti kecurian, penculikan dan sebagainya. Sentiasalah menghisab atau meneliti kekurangan diri sendiri sebagai hamba Allah. Jika tidak atau gagal melakukannya, inilah balasannya:-
1- Terhapuslah segala amal kebajikan mereka.
2- Mereka tergolong di antara pengamal syirik kecil.
3- Bukan saja dimurkai Allah Taala, malah dibenci juga oleh manusia.
4- Segala amalan kebajikan tidak mendapat keberkatan daripada Allah A.W.T.
5- Memperolehi azab Allah di akhirat kelak.
* nota b.tan-
Ketiga-tiga sifat mazmumah di atas, jelas bisa mengundang murka Allah. Disebabkannya kita akan terpalit dosa yang sentiasa mengintai untuk memerangkap kita. Perlu sentiasa ingat mengingat atau berpesan-pesan ke arah kebaikan dan janganlah bertolong bantu ke arah kemungkaran. Dalam hidup yang sementara ini tiada apa yang boleh dimegahkan atau dibanggakan kerana kita semua hidup dengan izin dan belas ikhsan dari Allah yang menguasai alam semesta ini. Tak usahlah mendabik dada kononnya akulah yang paling pandai, paling warak, paling pemurah atau yang paling banyak amal ibadahnya. Semoga kita dapat menjauhkan diri dari tiga sifat yang tercela itu. Sekian, terimakasih.