Rabu, Julai 17, 2013

Zakat.

PENGENALAN

Zakat sebagaimana yang kita sedia maklum, adalah suatu tuntutan ibadat yang tersendiri dalam Islam melalui harta benda dan kekayaan yang dimiliki oleh seseorang. Selain dari itu zakat juga merupakan suatu asas yang kuat bagi membentuk sistem ekonomi umat Islam yang menjamin keadilan dan ketenteraman hidup disamping menjalin perhubungan baik di antara golongan yang berada dengan golongan yang tidak berada. Dengan lain perkataan zakat adalah salah satu dari rukun Islam yang bercorak kemasyarakatan yang bertujuan bagi melahirkan perseimbangan dan mendekatkan jurang perbezaan disamping mengekalkan perpaduan dan keharmornian dalam kehidupan bermasyarakat.

Oleh kerana memandang betapa besarnya erti zakat dalam  Islam dan betapa pentingnya dalam kehidupan dan pembangunan ummah, maka barang siapa mengingkari hukum wajibnya zakat, sudah tidak syak lagi terkeluar dari Islam (murtad), na’uzubillah. Di dalam al-Quran terdapat berpuluh-puluh kali ayat-ayat yang menerangkan tentang zakat, diantaranya firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud:

Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat dan rukuklah bersama-sama orang yang rukuk.

Allah Ta’ala telah memberikan khabar gembira kepada mereka yang menunaikan zakat dengan firmanNya dalam Surah Al-Mukminun yang bermaksud:

Sesungguhnya telah beroleh keuntungan bagi orang-orang mukmin yang khusyuk dalam sembahyang dan yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna dan orang-orang yang menunaikan zakat.

Demikian juga Allah telah mengancam orang-orang yang tidak menunaikan zakat dengan firmanNya dalam Surah At-Taubah yang bermaksud:

Orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa mereka akan mendapat siksa yang pedih pada hari yang dipanaskan emas dan perak itu, lalu dibakar dengannya dahi mereka, bahu dan pinggang mereka (seraya dikatakan: Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, sebab itu rasakanlah sekarang (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu.

PENGERTIAN ZAKAT

Dari segi bahasa zakat bererti bersih dan suci. Ia membawa makna pembersihan dan kesuburan, kerana dengan mengeluarkan zakat, maka harta pencarian dan simpanan menjadi bersih. Bersih daripada sesuatu yang haram dimiliki, iaitu hak-hak orang lain yang telah diwajibkan kita mengeluarkannya, serta hasil pencarian dan pendapatan tersebut akan diberkati Allah.

Dari segi Syarak pula zakat bermakna mengeluarkan sebahagian harta atau hak milik kepada mereka yang layak menerimanya dengan kadar tertentu setelah mencukupi nisabnya dan sampai masanya satu tahun atau setelah sempurna menuai ( bagi tanam-tanaman).

Menurut Ustaz Sulaiman Endut pula, zakat ialah mengeluarkan kadar harta yang tertentu kepada orang yang tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu.

HUKUM ZAKAT

Memberi zakat itu wajib atau fardu ain bagi tiap-tiap orang Islam, walaupun ia belum baligh dan walaupun dia amat bodoh. Dengan lain perkataan adalah wajib bagi wali-amarnya (guardian) mengeluarkan zakat hartanya, apabila cukup sempurna syarat-syaratnya.

HIKMAH BERZAKAT

Antara hikmah diwajibkan zakat ialah:

1-    Satu cara pengabdian diri terhadap Allah SWT dengan cara mengeluarkan sebahagian harta untuk diberikan kepada orang lain yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin agar dapat turut sama mengecapi nikmat Allah.

2-  Kesanggupan mengeluarkan sebahagian kecil daripada harta yang disayangi dianggap sebagai satu amalan jihad (pengorbanan) melalui harta benda demi menegakkan salah satu rukun Islam yang lima.

3-   Membersihkan perasaan dendam dan hasad dengki orang fakir miskin terhadap golongan berada. Seterusnya untuk membersihkan segolongan ahli masyarakat umum daripada kekecewaan, yang merasakan diri mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

4-      Melenyapkan sikap cintakan harta, bakhil dan kedekut.

5-  Mensyukuri nikmat pemberian Allah SWT dengan menyumbangkan sebahagiannya demi agama Allah.

Amalan berzakat bertujuan untuk membentuk masyarakat saling bantu membantu dan bersikap adil. Golongan berada dan mewah membantu golongan yang miskin sedangkan golongan yang daif mengasihi golongan yang berada.

Zakat juga dapat membersihkan harta benda daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Jabir r.a. Rasulullah SAW. Bersabda: Sesiapa yang menunaikan zakat hartanya, nescaya akan hapuslah segala perkara yang boleh merosakkan hartanya.

Harta benda yang telah dikeluarkan zakat padanya akan mendapat keberkatan dari Allah SWT dan terpelihara dari segala bencana kemusnahan manakala pemiliknya pula akan mendapat kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

PERBEZAAN ZAKAT DAN SEDEKAH

Zakat itu bukanlah sejenis daripada sedekah atau derma bakti. Ianya adalah hak yang termaklum untuk orang-orang fakir, miskin dan lain-lain yang berhak. Dari kerana itu terselamatlah airmuka dan perasaan malu orang-orang miskin pada waktu mereka menerima haknya yang berupa wang dan sebagainya daripada orang-orang Islam yang kaya itu.

Sebab itu zakat bukanlah suatu jalan untuk membanteras kemiskinan, tetapi untuk memerangi perbuatan jenayah yang terbit daripada kemiskinan kerana kemiskinanlah yang menjadi asas jenayah orang perseorangan dan pemberontakan orang ramai. Berikut adalah faktor-faktor yang membezakan antara zakat dan sedekah:

Jumlah atau Nilai

Jumlah atau nilai sedekah terpulang kepada si pemberi (penderma) sama ada sedikit ataupun banyak. Di samping itu , sedekah yang diutamakan ialah sedekah yang tersembunyi sehingga dianjurkan agar masyarakat umum tidak mengetahui siapa penyumbangnya.

Perbezaan Bentuk

Sedekah boleh dibuat dalam pelbagai bentuk sama ada makanan, pakaian, ubat-ubatan dan sebagainya. Sedangkan zakat pula adalah dalam bentuk yang lebih khusus seperti zakat fitrah, zakat binatang ternakan, biji-bijian (bijirin), perniagaan dan emas/perak.

Faktor Masa

Faktor masa juga membezakan zakat dan sedekah. Zakat mempunyai masa-masa tertentu patut dikeluarkan seperti zakat fitrah/badan dikeluarkan bermula bulan Ramadan hingga sebelum solat sunat Aidilfitri. Ia menjadi sedekah biasa jika dikeluarkan selepas solat sunat Aidilfitri dan haram dikeluarkan selepas terbenam matahari pada Hari Raya Aidilfitri.

Sedekah pula boleh dikeluarkan pada bila-bila masa sama ada oleh orang lelaki, perempuan, orang tua ataupun kanak-kanak sedangkan zakat pula tertakluk kepada beberapa syarat tertentu.

JENIS-JENIS DAN SYARAT-SYARAT MENGELUARKAN ZAKAT

Zakat dalam Islam terdapat dua jenis sahaja:
i-             Zakat “badaniah” iaitu zakat tubuh badan atau lebih dikenali dengan zakat fitrah. Zakat fitrah yang bererti zakat kejadian, maksudnya ialah kadar yang tertentu dari bahan makanan asasi yang wajib dikeluarkan oleh setiap muslim yang mencukupi syarat ekoran dari selesainya menjalani ibadah puasa atau sebaik sahaja jatuh matahari akhir Ramadan.

Nabi SAW bersabda maksudnya:
Daripada Abdullah bin Umar katanya, Rasulullah Saw telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas manusia segantang buah tamar atau segantang gandum di atas setiap orang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan dikalangan orang-orang Islam.

Syarat wajib zakat fitrah-
1-    Islam
2- Mempunyai kemampuan (harta benda) yang lebih daripada keperluan perbelanjaannya untuk dirinya dan orang di bawah tanggungannya  pada Hari Raya Aidilfitri dan malamnya.
3-    Wajibnya zakat fitrah itu ialah setelah terbenam matahari pada hari akhir bulan Ramadan. Tidak wajib zakat fitrah ke atas orang yang mati sebelum terbenam matahari pada hari akhir Ramadan, atau kanak-kanak yang lahir selepas terbenam matahari akhir Ramadan atau bagi seorang mualaf yang baru memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada hari akhir Ramadan atau seorang lelaki yang bernikah sesudah terbenam matahari terakhir Ramadan.

Secara kesimpulannya, waktu dan hukum membayar zakat fitrah adalah seperti berikut:

HUKUM
WAKTU
Dibolehkan
(Harus)
Dari awal Ramadan sehingga hari akhir Ramadan
Wajib
Selepas terbenam matahari pada hari akhir Ramadan
Afdal
Selepas solat Subuh sehingga sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri.
Makruh
Selepas solat hari Raya Aidilfitri sehingga tibanya waktu Maghrib (iaitu selepas terbenamnya matahari)
Haram
Selepas terbenam matahari pada hari Raya Aidilfitri.

Kadar Bayaran Zakat Fitrah

Kadar bayaran zakat fitrah mengikut cara asal ialah 1 gantang Baghdad makanan asasi yang mengenyangkan bagi sesuatu tempat seperti beras atau gandum. Jika dikira mengikut sukatan atau timbangan semasa di Malaysia ialah sebanyak 2.27 kilogram dan ada yang mengatakan sebanyak 2.30 kilogram. Namun para ulamak telah mengharuskan pengeluaran zakat fitrah dengan nilai harganya mengikut kadar nilai matawang semasa. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan bukan sahaja kepada yang memberi zakat fitrah tetapi juga kepada penerimanya.

Lafaz Bagi Zakat Fitrah

1-    Bagi diri sendiri:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib bagi diriku  pada tahun ini kerana Alllah Taala.

2-    Bagi diri sendiri dan tanggungan:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib bagi diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana Allah Taala.

3-    Bagi pihak
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib bagi …………….. pada tahun ini yang diwakilkan kepadaku kerana Allah Taala.


ii-            Zakat Maliah atau Harta.
Bukanlah semua harta benda yang dimiliki oleh seseorang itu dikenakan zakat, cuma beberapa jenis sahaja yang wajib dikeluarkan zakat iaitu:
a)    Hasil dari bercucuk tanam seperti padi, gandum, tamar dan lain-lain lagi. 
       Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud:
Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripasa hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.
  
Firman Allah SWT lagi dalam Surah Al-Ana’m ayat 141 yang bermaksud:
Makanlah dari buah-buahannya apabila ia berbuah dan berilah haknya (zakat) pada hari menuainya.

Nisab zakat tanaman atau buah-buahan ialah sebanyak 5 ausuq atau 690 kilogram atau 300 gantang Baghdad. Kadar peratus pembayarannya bergantung kepada cara-cara penghasilannya.
Biji-bijian atau buah-buahan yang sampai nisab yang diusahakan dengan menggunakan tenaga manusia atau lainnya seperti binatang dan jentera atau dengan perbelanjaan yang banyak maka kadar zakatnya ialah 5% atau 1/20.
Biji-bijian dan buah-buahan yang sampai nisab yang hanya bergantung kepada jirusan air hujan atau yang hidup dengan aliran air sungai atau parit maka kadar zakatnya ialah 10% atau 1/10.

Syarat wajib zakat ke atas pemilik tanaman dan buah-buahan ialah;
i-             Islam
ii-            Merdeka
iii-           Milik yang sempurna
iv-           Cukup nisabnya
v-            Ditanam oleh manusia.
vi-           Bijian atau buah-buahan itu boleh disimpan lama dan mengenyangkan.
 
b)    Barang-barang perniagaan iaitu barang-barang yang harus diperniagakan dan wang simpanan.  Nisab zakat perniagaan ialah menurut modal asalnya sama seperti emas iaitu 80 gram emas.

Syarat wajib zakat harta perniagaan ialah:
i-         Mestilah cukup setahun.
ii-      Kadar zakatnya 2 ½ peratus.
iii- Caranya ialah wang modal yang dikeluarkan ditaksir harga menurut harga pembelian pada waktu itu. Kemudian dicampur keseluruhannya lalu dikeluarkan zakat.
iv-       Wajib juga dijumlahkan hutang-hutang yang ada ditangan orang lain yang dia yakin akan dapat dibayar balik kepadanya.
v-      Kalau perniaga itu rugi, nilainya tidak sampai satu nisab lagi, tidaklah wajib dikeluarkan zakat.

Bagi wang simpanan, nisabnya mengikut kadar yang ditetapkan oleh jabatan agama menurut turun naiknya harga emas ialah 2.5% daripada simpanan. Sebagai tambahan, kadar bayaran bagi zakat wang simpanan ialah wang simpanan yang menyamai / melebihi nisab (nilai harga 85 gram emas di pasaran semasa) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Kadar pengiraan bagi zakat ini adalah seperti berikut:
Contoh: Pada 1 Januari 2007, jumlah wang simpanan En. Ahmad ialah sebanyak RM3,600.00. Jumlah tersebut berkekalan dalam simpanannya hingga genap setahun (354 hari bagi tahun Hijrah). Oleh kerana jumlah wang simpanannya itu telah melebihi nilai harga yang paling tinggi bagi 85 gram emas sepanjang tahun 2007, maka En. Ahmad diwajibkan membayar zakat sebanyak 2.5% atau 1/40 daripada jumlah wang simpanannya.
                                     
Kadar yang diwajibkan bagi zakat wang simpanan ialah:
1-    Wang simpanan wajib dikenakan zakat apabila cukup syarat-syaratnya.
2-    Jumlah yang ditaksirkan berdasarkan Baki Simpanan Terendah yang kekal genap setahun.
3-    Jumlah simpanan terendah hendaklah menyamai atau melebihi nisab (paras minima wajib zakat) 85 gram emas mengikut harga pasaran semasa.
4-    Kadar ditaksirkan ialah: Tahun Hijriah 354 kadarnya 2.5%, Tahun Masihiah 365 kadarnya 2.57%.

c)    Harta kekayaan yang terdiri dari emas dan perak.
Emas dan perak ialah galian-galian yang diwajibkan zakat oleh Islam. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam  Al-Quran Surah At-Taubah ayat 34-35 yang bermaksud:
Dan mereka yang menyimpan emas dan perak, dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat), maka gembirakanlah mereka dengan azab yang pedih. Pada hari mereka dibakar di dalam neraka jahannam dan dibakar muka mereka, rusuk dan belakang mereka sambil dikatakan kepadanya, “Inilah harta yang kamu simpan selama ini buat diri mu, maka rasailah balasan yang kamu simpan dahulu.”

Kadar yang wajib dikeluarkan zakat ialah:

1-    Emas
Nisab emas ialah seberat 20 miskal iaitu bersamaan 25 mayam 2.7108 saga emas atau bersamaan dengan 85 gram. Kadar zakat emas yang cukup nisab ialah 2.5% atau 1/40 atau 2 ½ peratus.

2-    Perak
Nisab perak ialah 200 dirham iaitu bersamaan 176 mayam 6.9732 saga perak atau bersamaan 560 gram. Kadar zakat perak yang wajib dikeluarkan ialah sama seperti kadar emas iaitu 2.5% atau 1/40 atau 2 ½ peratus.

                     Emas atau perak yang dijadikan perhiasan perempuan tidak diwajibkan        
                   zakat  kecuali yang berlebihan daripada sepatutnya.

                Syarat wajib zakat emas dan perak ialah:
i-             Islam.
ii-            Merdeka.
iii-           Milik yang sempurna.
iv-           Cukup nisab.
v-            Cukup masanya setahun.

          
d)    Binatang ternakan seperti kambing, biri-biri atau kibas, lembu, kerbau, dan unta.

      Nisab bagi kambing, biri-biri atau kibas ialah:

BILANGAN
KADAR ZAKAT
40 -120 ekor
1 ekor berumur satu tahun
121 – 200 ekor
2 ekor berumur satu tahun
201 – 300 ekor
3 ekor berumur satu tahun


Nisab bagi lembu / kerbau ialah:

BILANGAN
KADAR ZAKAT
30 - 39 ekor
1 ekor anak lembu (Jantan/Betina) berumur satu tahun
40 – 59 ekor
1 ekor anak lembu betina berumur dua tahun
60 – 69 ekor
2 ekor anak lembu jantan berumur satu tahun
70 – 79 ekor
2 ekor anak lembu satu tahun
( 1 jantan dan 1 betina)
80 – 89 ekor
2 ekor anak lembu betina berumur dua tahun
90 – 99 ekor
3 ekor anak lembu jantan berumur satu tahun
100 – 109 ekor
3 ekor anak lembu
(satu ekor betina berumur dua tahun dan dua ekor jantan berumur satu tahun) 
110 – 119 ekor
3 ekor anak lembu
(satu ekor betina berumur satu tahun dan dua ekor jantan berumur dua tahun) 

Nisab bagi unta ialah :
Setiap 5 ekor, zakatnya seekor anak unta berumur setahun.

Syarat wajib zakat binatang ternakan ialah:
i-             Islam.
ii-            Merdeka.
iii-           Cukup nisabnya.
iv-           Cukup masanya.
v-            Milik yang sempurna.
vi-    Binatang ternakan yang hidup bebas di padang rumput. Binatang yang makanannya terpaksa dibeli maka tidak wajib dikeluarkan zakat.
vii-         Binatang itu tidak cacat dan tidak terlalu tua.
viii- Binatang ternakan itu tidak digunakan bagi membajak tanah atau mengangkut barang-barang dan sebagainya.

e)    Harta Rikaz, iaitu terdiri dari emas dan perak yang didapati tertanam di dalam tanah yang dikenali sebagai harta karun atau hasil galian.
Harta kekayaan yang dijumpai tertanam di dalam tanah dan dipercayai hasil simpanan orang-orang jahiliah dahulu (harta rikaz) wajib dikeluarkan zakatnya sebanyak 20% daripadanya tanpa menunggu cukup setahun dan nisabnya yang tertentu. Nisabnya ialah sebanyak mana bahan itu dijumpai.

Hasil galian atau perlombongan sama ada emas atau perak yang cukup nisabnya sebanyak 20 miskal atau lebih hendaklah dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5% tanpa menunggu cukup setahun sebagaimana harta simpanan emas dan perak.

·         Tambahan-
a)    Zakat saham:
Saham ialah wang yang dilaburkan dalam syarikat atau perniagaan. Ia adalah sebagai bukti pemilikan sesebuah perniagaan. Nisabnya ialah 2.5% atas nilai terendah sesuatu tahun semua saham (setelah ditolak hutang atas saham-saham tersebut), kalau nilai tersebut tidak kurang daripada nisab. Kaedah kiraan zakat saham ialah:
Bagi sijil-sijil saham dalam sesebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham, ianya mudah untuk dijadikan wang tunai berbanding dengan saham dalam syarikat yang tidak tersenarai atau dalam koperasi.

Panduan umum pengiraan zakat ialah 2.5% atas nilai terendah semua saham yang dimiliki selama setahun, setelah ditolak pinjaman membeli saham (jika ada).

Saham yang Masih Dimiliki sehingga Hujung Haul-

Contoh:
Pengiraan zakat ialah 2.5% atas harga terendah atas kos dan pasaran.
        
                                          200 lot  x RM1.00
           ( 1 lot bersamaan 1000 unit)
               saham Syarikat Mukmin   = RM200,000
                                                         (andaian harga terendah)
                                    RM200,000 x 2.5%
                                                     = RM 5,000 (jumlah zakat)


 Saham yang Dijual Beli Sepanjang Haul (setahun)

Contoh:
Pengiraannya ialah 2.5% atas nilai jualan saham-saham tersebut setelah ditolak kos pembelian.
RM500,000        - RM400,000
(jumlah nilai            (kos belian)
saham)
=   RM100,000
RM100,000        x   2.5%
                        =   RM2,500 (jumlah zakat)  

b)    Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kwsp dikenakan zakat kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, Cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun biasa.

Caruman wang pekerja dan majikan ke dalam KWSP dikenakan zakat apabila cukup nisab dan haul. Terdapat dua pendapat dalam pengiraan KWSP:

-       Milik Tidak Sempurna:- Zakat hanya wajib dikeluarkan ketika bersara atau mengeluarkan sebahagian wang dari KWSP semasa cukup umur. Kadarnya ialah 2.5%.

-       Milik Sempurna:- Wang yang tersimpan dalam KWSP dikenakan zakat apabila ianya cukup nisab dan haul (caruman wang pekerja sahaja iaitu tidak termasuk caruman majikan). Ini bermaksud ianya wajib dikeluarkan zakat apabila memenuhi syarat-syaratnya walaupun wang tersebut masih berada dalam tabung KWSP. Kadarnya ialah 2.5% apabila caruman melebihi nisab.

 Peranan Waris Mengeluarkan zakat

Sekiranya orang yang wajib mengeluarkan zakat meninggal dunia sebelum dapat menunaikan tanggungjawab bagi zakat-zakat di atas, waris si mati hendaklah mengeluarkan zakat bagi pihak si mati sebelum:
1-    Membayar hutang si mati.
2-    Melaksanakan wasiat si mati.
3-    Membuat pembahagian hukum faraid (harta pusaka).

Bagi mereka yang enggan dan mengingkari tanggungjawab berzakat akan jatuh kepada dua keadaan sama ada murtad atau berdosa besar.

GOLONGAN YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT

Berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 60 Surah At-Taubah, ada beberapa golongan yang berhak menerima zakat.

Maksudnya: Sesungguhnya zakat ini hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil zakat, mualaf (yang dilunakkan hati), untuk (memerdekakan) hamba sahaya, untuk (membebaskan) orang berhutang, untuk jalan Allah dan Ibnu Sabil (iaitu orang yang sedang dalam perjalanan) sebagai kewajipan dari Allah, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Keterangan:-
1-    Orang Fakir- Mereka yang tidak berharta, tiada mata pencarian atau mempunyai hasil pendapatan yang tidak sampai separuh keperluan asas.

2-    Orang Miskin- Mereka yang mempunyai harta tetapi sekadar dapat menampung separuh atau lebih keperluan semasa bagi diri dan tanggungjawab.

3-  Amil- Mereka yang ditauliahkan oleh pemerintah untuk menguruskan pungutan dan pembahagian zakat.

4-    Muallaf- Mereka yang baru memeluk Islam yang keislamannya masih terumbang-ambing lagi (imannya masih belum kuat dan teguh).

5-    Hamba (Ar-Riqab)- Mereka yang diberi peluang oleh tuannya untuk menebus diri tetapi tiada berkemampuan berbuat demikian.

6-    Orang yang berhutang- Mereka yang menanggung hutang yang menepati syarak seperti untuk kepentingan umum (masyarakat) dan juga keperluan yang harus bagi dirinya tetapi tidak mampu melunaskannya.

7-    Fi Sabilillah- Mereka yang berjuang/berjihad demi kepentingan menegakkan Islam atau semua amal soleh yang bertujuan untuk meninggikan agama Allah seperti membina sekolah, hospital, masjid, jalan, jambatan, rumah-rumah anak yatim, bantuan biasiswa dan pendakwah yang menjalankan seruan dakwah di jalan Allah.

8-    Ibnu Sabil (musafir)- Mereka yang melakukan perjalanan untuk tujuan yang baik dan untuk kepentingan agama Islam tetapi kehabisan belanja.

ISLAM DAN ZAKAT: SATU ANALISIS

Kaum Komunis dan kuncu-kuncu penjajah mengejek sistem zakat. Mereka mencabar pendakwah-pendakwah Islam. Wahai pendakwah-pendakwah Islam, adakah tuan-tuan mahu menegakkan keadilan Islam dengan sistem zakat? Adakah tuan-tuan mahukan rakyat jelata hidup dengan ihsan wang-wang zakat yang dikeluarkan oleh orang-orang kaya yang budiman?  Inikah yang dikatakan keadilan menurut istilah tuan-tuan? Adakah tuan-tuan rela melihat kehormatan manusia dihina sedemikian rupa?
Mereka telah salah mengerti dan punca kesilapan mereka yang paling besar ialah kerana mereka menyangka bahawa zakat itu sedekah atau satu pemberian secara ihsan dari orang kaya kepada orang-orang miskin. Jika mereka berfikir dengan akal yang waras tentulah mereka dapati bahawa gambaran zakat yang sebenar tidak begitu, kerana dari segi logik apabila dikatakan sedekah atau pemberian secara ihsan dengan sendirinya bererti bahawa pemberian itu merupakan satu pemberian sukarela yang tidak diwajibkan oleh pemerintah atau undang-undang, sedangkan yang sebenarnya zakat bukan sedekah malah satu pembayaran yang diwajibkan oleh undang-undang dan mana-mana pihak yang menunjukkan keengganan untuk membayar zakat mereka akan ditentang oleh negara dengan kekuatan senjata dan jika perlu mereka halal dibunuh kerana mereka dianggap sebagai kaum murtad. Jika zakat itu sedekah atau satu pemberian secara ihsan saja tentulah tindakan-tindakan sedemikian tidak berlaku.

Hakikatnya zakat dari segi kacamata kewangan merupakan satu sistem cukai berperaturan yang pertama kali dalam sejarah ekonomi dunia. Sedangkan sebelum ini, cukai-cukai hanya dikenakan ke atas orang ramai mengikut sesuka hati pemerintah dan jumlah cukai yang harus dipungut bergantung kepada sejauh mana keperluan kewangan yang dikehendaki pemerintah, untuk memenuhi kepentingan-kepentingan peribadi mereka. Disamping itu bebanan membayar cukai selama-lamanya lebih banyak dipikul oleh orang-orang miskin dari orang-orang kaya atau hanya dipikul oleh orang-orang miskin saja.

Tetapi apabila lahir, Islam pemungutan cukai atau zakat telah diatur dengan kadar-kadar yang tertentu saja dan tidak boleh lebih dari itu jika negara berada dalam keadaan normal. Di samping itu Islam membebankan kewajipan membayar zakat ke atas orang-orang kaya dan orang-orang yang sederhana kaya saja, sedangkan orang-orang miskin dibebaskan dari kewajipan itu.

Hakikat yang kedua ialah pembahagian hasil pungutan zakat kepada orang-orang miskin haruslah diselenggarakan oleh negara bukan oleh orang-orang kaya itu sendiri, apa yang dikatakan “Baitulmal” dalam Islam tidak lain melainkan samalah dengan “Kementerian Kewangan” sekarang yang mengumpulkan seluruh hasil pendapatan negara dan mengaturkan anggaran-anggaran perbelanjaan bagi setiap jabatan kerajaan.

Seandainya negara menyalurkan hasil zakat itu untuk membantu orang-orang yang memerlukan pertolongan yang tidak dapat bekerja atau tidak mempunyai punca pendapatan hidup yang cukup, maka pemberian itu bukanlah bererti sedekah atau pemberian secara ihsan yang menjatuhkan kehormatan orang-orang yang memerlukan pertolongan itu. Sebagaimana tiada siapa yang boleh mengatakan bahawa pegawai-pegawai yang bersara yang menerima pencen dari kerajaan dan buruh-buruh yang mendapat faedah dari rancangan keselamatan sosial sebagai pengemis yang hidup dengan ihsan dan sedekah orang-orang kaya. Begitulah halnya dengan kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdaya untuk bekerja yang mendapat bantuan kerajaan. Tentulah tiada siapa yang boleh mengatakan bahawa kehormatan mereka telah terguris kerana menerima bantuan itu. Sebab pada dasarnya negara adalah berkewajipan melakukan tugas-tugas perikemanusiaan itu.

Hakikat yang ketiga, seandainya keadaan hidup orang ramai dipermulaan Islam itu memerlukan orang yang miskin di waktu itu menerima pembayaran zakat dalam bentuk wang tunai atau matabenda, namun cara yang sedemikian bukanlah merupakan satu-satunya cara membayar zakat yang dinaskan oleh Allah, malah di sana tidak ada nas—nas yang menegah agar zakat itu dibayar kepada orang yang berhak dalam bentuk persekolahan percuma untuk anak-anak mereka, hospital percuma untuk perubatan mereka, kesatuan-kesatuan kerjasama yang memberikan punca-punca kehidupan kepada mereka, kilang-kilang dan yayasan yang memberi pekerjaan kepada mereka dan sebagainya dari badan dan rancangan perkhidmatan sosial yang wujud di zaman moden ini. Pemberian zakat dalam bentuk wang tidak perlu dikeluarkan melainkan kepada orang yang tidak berjaya bekerja dengan sebab sakit, tua atau masih dalam usia kanak-kanak, sedangkan orang yang lain dari mereka bolehlah menerima zakat dalam bentuk pekerjaan dan perkhidmatan.

Hakikat yang keempat pula, masyarakat Islam sama sekali tidak bertujuan untuk selama-lamanya mewujudkan golongan fakir miskin yang semata-mata hidup dengan harta zakat. Masyarakat Islam pernah sampai kepada kemuncaknya yang ideal di zaman Khalifah Omar bin Abdul Aziz, di mana zakat dipungut tetapi pegawai-pegawai pemungutnya tidak dapat menemui oramg miskin atau seorang miskin pun untuk dibahagikan harta zakat yang dipungut itu.

Marilah kita dengar Yahya bin Said mengisahkan peristiwa itu- “Khalifah Omar bin Abdul Aziz telah menugaskan saya untuk menyelenggarakan pemungutan zakat dari Afrika dan sesudah selesai mengumpulkan harta zakat itu kami mencari golongan fakir miskin untuk dibahagi-bahagikan zakat itu, tetapi tidak ada seorang miskin yang dapat kami temui dan tidak ada seorang pun yang mahu menerima zakat itu dari kami, kerana Omar bin Abdul Aziz telah membuat semua orang hidup senang.”

 KESIMPULAN

Sebenarnya zakat adalah dipandang sebagai satu daripada kemegahan Islam. Kemajuan pemikiran dalam zaman moden ini telah menerangkan kepentingan zakat itu. Al-Allamah Profesor Cibb telah berkata: “Islam akan sentiasa memelihara perseimbangan di antara dua pihak yang mempunyai pendirian pelampau dalam dunia ini. Islam menyesuaikan dan menyelaraskan di antara faham Sosialis Kebangsaan Eropah dengan faham Komunis Rusia. Ia tidak memalingkan cara ekonomi dalam kehidupan orang-orang Islam kepada lingkungan sempit, yang menjadi kebanggaan Eropah pada masa sekarang dan yang menjadi kemuliaan Rusia juga pada hari ini”, yakni dengan memalingkan cara ekonomi mereka kepada faham Sosialis Kebangsaan Eropah dan kepada faham Komunis Rusia menurut faham masing-masing.

Berkenaan zakat ini Profesor Masension telah berkata: “Islam mempunyai kebolehan yang cukup untuk melaksanakan faham persamaan iaitu dengan menfardukan zakat yang mesti dibayar oleh tiap-tiap orang Islam (yang mampu) kepada “Baitulmal (Perbendaharaan Negara), Islam menentang perdagangan, bertukar-tukar barang yang tiada berbatas atau penahanan kekayaan dan hasil mahsul.  Demikian jua Islam menentang riba yang dikenakan ke atas hutang-hutang dan menentang cukai  yang dikenakan ke atas bahan-bahan mentah barang keperluan dengan tidak secara langsung.  Disamping itu dalam masa yang sama, Islam mempertahankan pemilikan perseorangan dan permodalan perdagangan. Dengan ini Islam telah mengambil tempat pertengahan di antara pendapat faham Kapitalis dengan faham Komunis.”

Sesungguhnya faedah dan kelebihan zakat itu bukan saja terbatas kepada masyarakat orang Islam sebagai satu faktor untuk keselamatan dan tolong menolong di antara  masyarakatnya, tetapi ia meliputi diri orang yang membayar zakat, kerana disamping ia memperoleh kasih sayang masyarakatnya, ia berasa bahawa dengan memberi manfaat kepada orang lain, dia juga berperanan dalam keamanan dan kerukunan masyarakatnya. Daripada apa yang telah dibuktikan oleh ilmu jiwa ialah zakat itu menjadikan manusia terlepas daripada sangat kasihkan harta. Dengan kata lain, zakat itu memelihara seseorang dari dipengaruhi oleh rasa sayang yang keterlaluan kepada harta yang boleh menyebabkannya menjadi sakit atau kadang-kadang membunuh diri.


 RUJUKAN

Ishak Din, Prof. Dato’ Dr. Haron Din dan Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, 1992. Soal Jawab Fiqh Harian. Malaysia: HIZBI Sdn. Bhd.

Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid, 2009. Indahnya Hidup Bersyariat Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat. Malaysia: Telaga Biru Sdn. Bhd.

Mohd. Sanusi Mahmood, 1975. Mengenal Islam dan Hubungannya Dengan Sains dan Teknologi. Kelantan: Syarikat Dian Sdn. Bhd.

Muhammad Qutb, 1975. Salah Faham Terhadap Islam. Alihbahasa oleh Yusoff Zaky Yacob. Kelantan: Sharikat Dian Sdn. Bhd.


Sulaiman Endut, 1993. Asas-Asas Fardu Ain. Malaysia: Pustaka Haji Abdul Majid.

Isnin, Julai 08, 2013

Dosa 'Suci' Dr. Morsi terhadap Rakyat Mesir...... (untuk renungan bersama)



1.Dosa Mursi adalah karena mengembangkan terusan Suez menjadi pasar bebas dunia. Yang dulu di zaman mubarak hanya menghasilkan pndapatan sebanyak 5.6 juta dollar pertahun, akan meningkat 100 juta dollar pertahun.

2.Dosa Mursi adalah menaikkan gaji PNS dan pencen sebanyak 200 % lebih, sementara harga-harga barang tidak naik, sehingga PNS jadi lebih makmur.

3.Dosa Mursi adalah membangun kilang samsung terbesar di Arab di provinsi Bani Suwef, sehingga harga barang elektronik menjadi murah.

4.Dosa Mursi adalah membuat kilang senjata sendiri sehingga tidak perlu lagi mengimport senjata-senjata terpakai dari Amerika.

5.Dosa Mursi adalah membuat kilang innar (sejenis tablet/ipad), untuk seluruh rakyat agar dapat memakai barang elektronik bermutu dengan harga berpatutan.

6.Dosa Mursi paling besar adalah dia selalu sholat berjamaah di masjid, hafal al Qur'an, selalu tahajjud dan sabar terhadap segala caci maki org padanya.

7.Dosa Mursi adalah kerana berusaha membina tenaga nuklear sebagai sumber tenaga alternatif di Mesir.

8.Dosa Mursi adalah karena ia mampu menarik pelabur asing dan mendapat kepercayaan pelabur asing di Mesir.

9.Dosa Mursi adalah membuka kembali jalan darat antara Mesir dan Sudan sehingga kerja sama dalam bidang ekonomi kedua negara akan meningkat.

10.Dosa Mursi adalah krana mampu membuka peluang kerja baru untuk 600 ribu lebih orang penganggur.

11.Dosa Mursi adalah berusaha mengembalikan harta yang dibawa keluar ke luar negara oleh Husni Mubarak dan kroni2nya.

12.Dosa Mursi adalah menegakkan keadilan dan berusaha menghapuskan penipuan

Kerana dosa-dosa itulah maka Mursi digulingkan oleh sisa-sisa kroni Mubarak, liberal, sekular, komunis,. Mereka kecewa kerana Mursi telah gagal membawa Mesir ke arah kehancuran

[Dari seorang mahasiswa Mesir via Ria Syamil Yuliasari]

Sumber


Rabu, Julai 03, 2013

AMALAN YANG MEROSAKKAN IMAN.



Pengenalan

Dalam ajaran agama Islam terdapat banyak anasir yang boleh menyebabkan iman atau akidah menjadi rosak. Para ulamak telah lama membicarakannya dan telah banyak buku mengenainya ditulis dan diterbitkan antaranya buku Batas-batas Iman dan Kufur hasil tulisan Said Hawa yang menggariskan dua puluh perkara yang boleh membatalkan atau merosakkan iman seseorang muslim. Namun perbincangan ini hanya membicarakan tiga aspek sahaja iaitu kufur, syirik dan nifaq.


1: Kufur (Ingkar rukun iman) 

Kufur pada bahasa bererti “menutupi” atau “mengingkari”.Manakala menurut „Ulama Usuluddin kufur boleh diertikan menurut istilah sebagai “tutup” ini kerana hati orang kafir tertutup atau terkunci mati daripada mendapat hidayah Allah SWT. Menurut Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, kufur  ialah pendustaan kepada Rasulullah SAW dan ajaran yang dibawanya.

Abdul Majid Aziz Az-Zindani (2004), mengatakan kufur menurut syara‟ ialah tidak mempercayai Allah SWT, malaikat, kitab-kitabnya, para rasulnya, hari akhirat, hukum-hukum Allah SWT atau sebarang ketetapan agama yang secara daruri diketahui oleh orang Islam.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa‟ ayat 136:           
Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah SWT dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran Yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab suci Yang telah diturunkan dahulu daripada itu. dan sesiapa Yang kufur ingkar kepada Allah SWT, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab- kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang amat jauh”  (Surah an-Nisa‟ : 136)  

 Jenis Kufur

i-             Kufur Hakikat- Menolak Rukun Iman

Kesan Kufur Hakikat : Apabila amalan kekufuran ini dengan i‟tiqad, perkataan dan perbuatan, di mana sesiapa yang melakukannya batallah Imannya dan keluar daripada agama Islam dan syahadahnya tidak sah sehinggalah dia bertaubat dan kembali ke jalan kebenaran. 

ii-            Kufur Ni‟mat- Menyalahgunakan Ni‟mat yang dianugerahkan Allah swt ke jalan maksiat.

Kesan Kufur Ni’mat : Mengurangkan Iman dan menyebabkan pelakunya berdosa sehingga kembali kepada Allah SWT membanyakkan amal soleh dan kesyukuran. 

Tambahan:
Kafir ialah seseorang yang mengengkari keesaan Allah.Kufur itu mengengkari keesaan Allah, kenabian Rasulullah atau mengengkari syariat-Nya.Seseorang yang mengengkari ketiga-tiga bahagian atau salah satu daripadanya disebut sebagai kafir.

Kekafiran seseorang itu dibahagikan kepada tiga bahagian:
i-             Kufur Jahli-
Kekufuran atau keingkarannya disebabkan kebodohannya.
ii-            Kufur Juhdi (Kufur ‘Inadi)-
Kekufurannya itu disebabkan terasa terhina kalau beriman kepada Allah seperti Firaun, atau takut kehilangan pangkat atau pengaruh sekiranya beriman.
iii-           Kufur Hukmi-
Kekufuran disebabkan sesuatu perbuatan atau perlakuan yang diperlakukan bertentangan dengan keimanan seperti menghina kitab al-Quran atau hukum-hukum yang terkandung di dalamnya atau menghina Sunnah Nabi.
(Sumber:Asas-asas Fardu Ain- muka surat 57 oleh Ustaz Sulaiman Endut)

2- Syirik

Syirik ialah menyekutukan Allah dengan sesuatu makhluk atau mempercayai bahawa adanya kuasa lain yang lebih berkuasa dari Allah. Orang yang melakukan syirik disebut Musyrik.
Syirik terbahagi kepada dua bahagian:

i-             Syirik Akbar-
a)    Syirik Akbar Jali (yang terang)
Syirik besar yang terang ialah mengambil selain Allah SWT sebagai tuhan dan menyembahnya  di samping menyembah Allah SWT dengan menjadikan sembahan itu sebagai  sekutu atau saingan yang disamakan dan disamakan taraf dengan Allah SWT, Tuhan bagi semesta alam seperti  menyembah objek tertentu dalam masa yang sama beribadah kepada Allah SWT, atau menyamakan makhluk lain dengan Allah SWT sebagai tuhan seperti mempercayai Nabi Isa a.s sebagai tuhan, atau menyifatkan makhluk sebagai tuhan bersama Allah SWT seperti menjadikan nabi Isa a.s. atau manusia sebagai tuhan di samping Allah SWT.

                  b) Syirik Akbar Khafi (yang tersembunyi)
                  Syirik besar yang tersembunyi pula menurut Sheikh Yusuf al-Qardawi (1999) ialah:   
    
1.    Meminta pertolongan dari makhluk ghaib seperti jin dengan meyakini makhluk itu dapat memberi manfaat dan mudharat.
  
2.   Berdoa atau memanggil ruh si mati atau meminta             sesuatu          di maqamnya  atau kuburnya. Syirik ini tersembunyi kerana orang yang melakukan amalan ini menyangka ia sebagai ibadah dalam bentuk bertawassul (sebagai perantaraan) antara mereka dengan Allah SWT.

3.    Mengambil selain Allah SWT sebagai penggubal undang-undang. Dengan kata lain memberi hak wewenang mencipta peraturan kepada hak perseorangan atau kumpulan sehingga menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal menurut kehendak sendiri walaupun bertentangan dengan syariat seperti menghalalkan perkahwinan sesama jantina atau menjatuhkan hukuman pesalah zina dengan undang-undang Barat.  Rasulullah SAW menjelaskan hal keadaan golongan Nasrani mengikut pendeta Yahudi dan Nasrani yang mencipta dan mereka-reka undang-undang mengikut kehendak dan kepentingan mereka.

4.    Begitu juga dengan fahaman-fahaman manusia hari ini yang meletakkan pemikiran manusia lebih baik dari panduan al-Quran. Ini bermakna golongan ini tidak meyakini ajaran Islam yang jelas sumbernya dari Allah swt Yang Maha Bijaksana menyediakan panduan untuk manusia yang dijadikan oleh Allah ini seperti berpegang dengan ideology Komunis, sosialis dan isme dalam masa yangsama menyembah Allah swt.    

ii-            Syirik Asghar-
a)    Syirik  AsgharJali (yang terang)
1.  Bersumpah dengan yang lain dari Allah SWT seperti bersumpah dengan nama ibubapa, bulan bintang dan sebagainya. 

2.    Memakai tangkal, azimat, jampi serapah yang tiada sumber yang syar‟i.

3. Sihir  

4. Bertenung nasib, ramalan masa depan dan seumpamanya.
  
5. Bernazar dan menyembelih bukan kerana Allah SWT.

                 b)   Syirik Asghar Khafi (yang tersembunyi)
                       Sifat-sifat keji dalam hati yang terpedaya dengan hawa nafsu sehingga            
                       membesarkan diri menyamakan sifat kebesaran Allah SWT seperti riya‟, ujub,   
                       takabbur, sum‟ah dan seumpamanya.

3- Nifaq-

Para ulama‟ bersepakat mengatakan bahawa sesiapa yang mengakui dengan lidahnya pada zahirnya tetapi mendustai di dalam hatinya tidak termasuk di dalam lingkungan iman. Mereka ini termasuk dalam golongan orang-orang yang munafik, yang telah dijanjikan oleh Allah SWT azab yang lebih pedih dari para jahidin (orang-orang yang ingkarkan Allah SWT, kerana mereka akan berada di dasar neraka. Malah mengakui dan mempercayai dalam hati juga belum mencukupi untuk mencapai Iman, kerana ianya mestilah disertai dengan pengakuan dengan lidah.

Sifat atau tanda-tanda orang yang munafiq ialah:
aa)  Imannya tidak teguh dan hakiki. Sikap dan pendiriannya sentiasa berubah-ubah mengikut  
k     keadaan dan suasana. Bagai lalang ditiup angin.

bb) Perbuatannya juga berubah-ubah. Jika bersama-sama orang yang kuat beribadat, dia akan ikut sama beribadat. Tetapi jika tidak bersama orang yang rajin beribadat, maka dengan mudah sahaja ia meninggalkan ibadat seperti solat tanpa merasa sedikit pun malu atau rasa berdosa.

cc)    Perkataannya selalu berubah-ubah. Apabila bersama orang mukmin, ia sama-sama mengaku beriman tetapi apabila di belakang orang mukmin berbagai keji dan umpat akan dikatakannya.

dd)    Orang munafiq juga berada dalam keadaan resah gelisah dan tidak tenang berada bersama-sama orang mukmin.

ee)    Orang munafiq mengharapkan segala amal baktinya mendapat balasan yang segera di dunia ini, seperti menderma beratus ribu ringgit dan mengharapkan pangkat dan namanya disebut-sebut.
f)     Orang munafiq hati dan perasaan serta kelakuannya hanya ditumpukan kepada soal keduniaan semata-mata, bagi mereka soal akhirat adalah khayalan dan dongeng sahaja.

Kaedah Mengatasi Anasir Perosak Iman 
Akidah tauhid yang dibawa oleh para rasul dan yang ditekankan oleh Islam supaya memantapkan pegangan, mengukuhkannya serta memeliharanya tidak akan tercapai kecuali melalui beberapa langkah utama yang mesti dijaga oleh setiap mukmin yang mahu menjaga kesejahteraan imannya seperti berikut:
1-    Mengikhlaskan Ubudiyyah kepada Allah.
Keikhlasan Ubudiyyah (pengabdian) kerana Allah dengan erti memberi hak Uluhiyyah yang sempurna dari sudut keagungan, kecintaan, dan ketundukan mutlak kepada Allah. Ini akan tercapai dengan tiga cara-
a)    Jangan menjadikan yang lain sebagai tuhan dengan mengagungkannya. Lihat firman Allah dalam Surah ali Imran ayat 64.
b)    Jangan mengambil selain Allah sebagai penolong (wali) dan mencintainya seperti mencintai Allah.
c)    Jangan mencari hakikat selain Allah dan memberi ketaatan kepadanya seperti ketaatan kepada Allah

2-    Mengkufurkan segala thoghut.
a)    Untuk mencapai tauhid ini hendaklah dengan membersihkan Ubudiyyah kepada Allah serta memberikan hak ke-Uluhiyyahan (ketuhanan) kepada-Nya baik dari sudut kebesaran-Nya, kecintaan-Nya dan ketaatan yang hanya layak bagi Allah dan tidak kepada yang lain.
b)    Mengkufurkan thoghut dengan membersihkan diri dari apa yang disembah dan ditaati selain daripada Allah, sehingga terdapat ayat-ayat al-Quran kadang-kadang didahulukan dengan mengkufurkan thoghut kemudian mengimani Allah. Firman Allah:
Barang siapa yang ingkar kepada thoghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang amat kuat yang tidak akan putus. (Surah al-Baqarah ayat 256)
3-    Memelihara diri dari syirik dan menjauhinya
Untuk mencapai tauhid ialah mengetahui semua jenis syirik baik kecil atau besar, terang atau tidak dan membebaskan diri daripada setiap unsur syirik, serta berjaga-jaga terhadap pintu dan ruang yang boleh menjerumuskan diri kedalamnya.

4-    Menuntut ilmu.
Orang yang mencari ilmu untuk dijadikan bekalan dalam perjalanan hidup untuk hari kemudian dan berniat untuk mencari keredaan Allah semata-mata termasuk dalam golongan orang-orang yang bakal memperolehi keselamatan dan kejayaan.

5-    Mentaati perintah Allah.
Taat itu maksudnya ialah menurut atau patuh kepada peraturan-peraturan dan ketentuan-ketentuan yang ditetapkan oleh Allah.Perintah-perintah Allah itu terdiri daripada amal-amal yang wajib dan sunat.

6-    Menjauhi maksiat.
Seseorang mukmin itu juga mestilah menjauhkan dirinya daripada maksiat, memandang berat terhadap dosa-dosa besar, berwaspada terhadap dosa-dosa kecil dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhinya.

Kesimpulan
Sesungguhnya telah jelas dan menjadi keyakinan kepada umat ini bahawa iman dan Islam sahajalah yang dapat menjamin akidah dan kehidupan mereka. Oleh itu ia mesti dipertahankan supaya dapat menjaminkeselamatan akidah. Akidah sahih yang dipandukan oleh al-Quran dan al-Hadis Rasulullah SAW menjadi panduan, ikutan dan keyakinan kepada kita. Kita menolak mana-mana akidah yang batil dan kufur sama ada ia dibawa oleh orang perseorangan, kumpulan, jamaah dan sebagainya.
Kita juga mesti menolak mana-mana penjajahan yang dilakukan oleh kuffar, khususnya penjajahan pemikiran kepada umat Islam ini. Sekali gus mereka bertujuan mahu menyahudikan, menasranikan serta merosakkan akidah umat Muhammad SAW. Kita hendaklah berpegang teguh kepada ajaran Allah dan Rasulullah SAW.
Dalam al-Quran terdapat beberapa ayat yang mengingatkan kita beberapa perkara yang boleh menyebabkan akidah dan iman menjadi rosak, serta yang boleh menyebabkan syirik dan kufur. Iman dan akidah seseorang muslim boleh menjadi rosak dengan beberapa cara sama ada secara perbuatan, perkataan atau iktikad. Dengan itu terkeluarlah dia daripada agama Islam. Allah SWT telah memperingatkan umat ini dengan firman-Nya dalam Surah al-Maidah ayat 54 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa diantara kamu berpaling tadah dari agamanya (menjadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Ia, mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut pada celaan orang yang mencela, yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya lagi meliputi pengetahuan-Nya.


Rujukan

Ahmad bin Mohd Salleh, 1995. Pendidikan Islam- Siri Pendidikan Perguruan(Dinamika Guru). Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Sulaiman Endut, 1993. Asas-asas Fardu Ain. Malaysia: Pustaka Haji Abdul Majid.

Wahibah Twahir@H.Tahir, Husna Husain dan Dr Ibrahim Hashim, 2012. Iman dan Kehidupan- Modul Program Pendidikan Jarak Jauh. Perak: Universiti Perguruan Sultan Idris.

Isnin, Mei 27, 2013

PENGUKUHAN DAN KEYAKINAN AKIDAH



Pengenalan

Sebaik-baik kejadian ialah manusia. Di atas landasan itulah maka manusia telah dipilih dan dilantik untuk menjadi khalifah di muka bumi ini oleh Allah Subhanahu wa Taala. Kenapa dikatakan sebaik-baik kejadian? Kerana manusia memiliki akal yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dengan akallah manusia mengurus dan mentadbir alam ini menurut hukum dan ketetapan yang telah ditentukan Allah SWT.  Sebagai bekalan panduan, Allah SWT  telah menurunkan Al-Quran melalui lisan nabi Muhammad SAW dengan perantaraan malaikat Jibril a.s. Sesungguhnya Al-Quran adalah antara sumber bagi memantapkan akidah seseorang muslim dalam mengharungi hidup di maya pada ini.

Pengukuhan Akidah Melalui Solat

Solat adalah tiang agama. Oleh itu sudah semestinya ibadah solat adalah ibadah terpenting di dalam Islam yang telah difardukan oleh Allah SWT ke atas hamba-Nya. Kewajipan ini berterusan selagi manusia itu masih lagi bernafas dan berakal tidak kira di mana ia berada atau apa situasinya sekali pun.
Melalui ibadah solat ini manusia diingatkan siapakah diri mereka yang sebenarnya di sisi Allah SWT. Hakikat bahawa Allah SWT itu adalah tuhan atau majikan sedangkan manusia ini hanyalah hamba atau kuli sahaja. Sebagai hamba atau kuli hendaklah kita sentiasa mematuhi perintah dan larangannya dan jangan sesekali cuba mengingkarinya kerana balasan buruk sedia menanti di alam akhirat yang kekal abadi.
Semasa di dalam solatnya manusia mengakui akan kelemahan dan kekurangan, kehinaan dan kedaifannya di hadapan Allah SWT yang diimplimentasikan di dalam perlakuan sujudnya. Di mana kepala yang terletaknya akal dan wajah seseorang diturunkan ke tanah iaitu tempat yang setaraf dengan kedudukan kakinya.

Selain dari itu, ketika sujudlah kedudukan manusia yang paling hampir dengan Allah SWT. Manusia hendaklah merasakan kehinaan dirinya dan sentiasa berharap akan keampunan dari Allah SWT atas dosa-dosa yang telah dilakukan dan takut akan azab seksa darI Allah SWT.
Ibadat solat yang didirikan akan menjadi banteng atau tembok yang akan menghalang manusia dari melakukan perkara-perkara maksiat dalam kehidupan seharian mereka. Justeru, manusia akan sentiasa terpelihara dalam kehidupan dan sentiasa berusaha untuk melakukan kebaikan kerana mereka mengetahui bahawa mereka adalah hamba dan mereka amat mengharapkan pertolongan dari Allah SWT dalam mematuhi perintah atau menjauhi larangan Allah SWT.
Mereka juga sedar bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sahaja sedangkan kehidupan di akhirat nanti adalah kekal dan abadi. Hanya mereka yang berjaya dan beriman dengan penuh yakin sahaja yang akan terselamat dari azab neraka.
Ini bermakna ibadat solat mempunyai kedudukan yang sangat penting di dalam kehidupan manusia. Sehinggakan mereka yang meminggirkan ibadat ini dikatakan seperti mereka meruntuhkan agama mereka sendiri. Dari ibadat solat juga Allah SWT telah menyediakan satu sistem yang lengkap untuk memantapkan iman atau akidah seseorang itu dari tergelincir atau terpesong dari landasan yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW seterusnya membawa kebahagian hidup di dunia dan di akhirat kelak.

Pengukuhan Akidah Melalui Berfikir Tentang Kejadian Alam

Alam sekeliling atau alam sekitar yang dijadikan oleh Allah SWT mampu berperanan bagi mengukuhkan akidah umat Islam. Dengan berfikir dan merenungi, melihat dan menghayati keindahan ciptaan tuhan, seseorang itu akan bertambah takwanya kepada Allah SWT. Sama ada di bumi, di langit yang luas, malah di dasar lautan semuanya merupakan ciptaan Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Tanpa penolong atau pembantu, Allah SWT mampu menjadikan alam ini untuk bukti kewujudan,  kuasaan, keagunggan dan sebagai lambang kesempurnaan-Nya.
Bagi mereka yang benar-benar beriman, hati dan jiwa mereka akan sentiasa terarah untuk mengingati pencipta alam ini. Tidak kira apa keadaan mereka, fikiran orang yang beriman tidak lepas dari menghubungkan kejadian alam ini dengan kekuasaan Allah SWT. Tiada alasan bagi mereka untuk lalai walau sedetik pun dari mengingati Allah SWT.
Natijah dari perintah Allah SWT agar manusia berfikir tentang kejadian alam ini ialah untuk mendekatkan diri seseorang hamba dengan penciptanya. Apabila mereka sedar akan hakikat kejadian manusia dan penciptaan alam ini, nescaya mereka akan menjadi hamba yang taat dan patuh serta takut kepada Tuhannya. Kerana hamba yang baik ialah hamba yang taat kepada perintah Tuhannya.
Akhirnya, ingatan yang berterusan  kepada Allah SWT mampu mengukuhkan akidah seseorang sebagai hamba yang pasti melakukan tindakan bersesuaian dengan sifatnya seorang hamba. Tidak mungkin baginya untuk melakukan sesuatu tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan Tuhannya. Mereka sentiasa berharap agar mendapat keampunan dari Allah SWT atas segala kesalahan yang pernah mereka lakukan dan dimasukkan ke syurga sebagai anugerah yang tidak ternilai harganya.

Keyakinan Akidah

Keyakinan akidah yang mantap adalah hasil dari usaha pengukuhan yang berterusan dalam mendidik jiwa dan rohani seseorang. Ia juga mencakupi keyakinan terhadap hari akhirat yang pasti akan terjadi. Di hari akhirat nanti, orang yang beriman percaya dan yakin akan pembalasan dari Allah SWT terhadap segala amalan yang telah mereka lakukan semasa hidup di dunia dahulu.
Dengan keyakinan itu, orang yang beriman telah menyiapkan bekalan dengan melakukan amalan-amalan yang soleh serta menjauhi perkara dan perbuatan yang buruk. Mereka akan menjadi insan yang benar-benar yakin dan bertakwa kepada Allah SWT tanpa rasa ragu dan syak lagi.
Antara ciri penting dalam proses mengukuhkan akidah ialah kemampuan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah SWT pada setiap masa dan ketika. Disamping itu juga rasa kecintaan terhadap Rasulullah SAW akan dapat membentuk peribadi yang luhur yang berpandukan peribadi Rasulullah SAW. Rasulullah SAW akan dijadikan sebagai ikutan dan suri teladan dalam melayari bahtera kehidupan berlandaskan syariat yang dibawanya. Segala keputusan yang diambil dalam melangsungkan kehidupan ini dibuat dengan menepati kehendak yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam. Mereka hanya berkeyakinan bahawa akidah yang kukuh adalah dengan mematuhi dan mentaati perintah dan larangan Allah SWT dengan tanpa berbelah bagi disamping mengharapkan balasan syurga di akhirat nanti.

Pendidikan dan Pengisian Akidah

Bagi Imam al-Ghazali, akidah itu tidak memadai dengan hanya setakat membaca, mendengar, lulus peperiksaan, tetapi ia ikut sama seiring dengan proses pembesaran seseorang anak. Beliau menyarankan pertama sekali hendaklah anak itu menghafaz. Manakala makna akan terserlah kepadanya sedikit demi sedikit sepanjang masa anak itu membesar. Maka pada peringkat permulaan ialah hafaz, selepas itu faham, selepas itu I’ktikad, yaqin dan tasdiq. Menurut beliau, hakikat ini tidak boleh disangkal sekali-kali kerana semua akidah orang awam bermula dengan mengikut sebutan lisan dan taklid semata-mata.
Memanglah i’ktikad yang diperolehi dengan cara taklid ini pada tahap permulaan ada kelemahannya. Ia boleh luntur jika datang godaan. Sebab itu, tegas Imam al-Ghazali, hendaklah anak atau orang awam itu dididik dan diasuh supaya iman mereka jadi kukuh dan tahan di cabar. Cara mengukuhkan iman mereka, tegas al-Ghazali, bukan sekali-kali dengan cara belajar Ilmu Jadal (ilmu perdebatan, dimaksudkan Ilmu Kalam, Ilmu Sifat Dua Puluh yang menggunakan teknik perdebatan akal), tetapi:

  Pertama ialah dengan cara membaca al-Quran serta tafsirnya.
  Kedua ialah dengan membaca hadis serta memahami ertinya.
  Ketiga ialah tekun mengerjakan amal ibadat.
  Keempat ialah berdampingan dengan orang salih. 

Dengan empat cara ini akidah seseorang anak itu akan bertambah kukuh beserta berkat mendengar dalil-dalil, hujah-hujah dan faedah selalu mendengar al-Quran dan hadis. Tidak kurang juga peranan cahaya ketekunan beramal ibadat serta peranan berdampingan dengan orang-orang salih tidaklah boleh dipandang kecil. Dengan melihat seri wajah ketengan peribadi mereka, rendah hati, serta penuh dengan penghayatan takwa kepada  Allah menjadi semaian iman ke dalam dada anak-anak. Cara tersebut juga adalah seperti membaja dan menyiram benih iman dalam dada anak-anak dan orang awam itu. Lambat laun benih itu bercambah, berdahan, berdaun membesar tinggi menjulang ke langit biru, dan berakar berumbi kukuh mencengkam bumi, tidak akan tumbang walau bagaimana kuat landaan badai, rebut dan taufan.
Dalam mendidik akidah anak-anak ini, Imam al-Ghazali mengingatkan kepada pendidik supaya jangan mendekati Ilmu Kalam. Beliau menyarankan supaya telinga mereka dikawal dengan seketat-ketatnya daripada mendengar cara perdebatan Ilmu Kalam. Dengan alasan bahawa Ilmu ini lebih banyak menimbulkan kekeliruan dan bukan sekali-kali menguatkan iman. Kalau mahu menguatkan iman dengan Ilmu Kalam, samalah seperti mahu menguatkan tumbuh-tumbuhan pokok dengan memukul batang dan dahannya dengan tukul. Akibatnya  bukan menguatkan pokok itu tetapi merosakkannya. (lihat Ahli Sunnah & Wujudiah-Batiniah(Mengenai Ajaran Salah-Jakim 1999) muka surat 28-30).

Rujukan:
1-    Mohd Radhi Ibrahim & Kamaluddin Nurdin Marjuni. 2012. Akidah Islam. Nilai: Penerbit USIM.

2-    Abdul Fatah Haron Ibrahim. 1999. Ahli Sunnah & Wujudiah-Batiniah (Mengenai Ajaran Salah). Kuala Lumpur: Jakim.